Wednesday, 10 September 2025

Pengenalan

Pelbagai Alat Perkusi

Sejarah mengenai alat-alat perkusi telah lama wujud. Manusia zaman dahulu mengetuk dinding-dinding gua, bongkah-bongkah batu dan kayu berongga secara tidak sengaja dan hasil bunyi dari ketukan dijadikan sebagai isyarat atau suatu bentuk komunikasi bagi maksud tertentu. Cara ketukan atau pola irama yang dimainkan juga digunakan bagi sesuatu upacara adat kelompok kaum berkenaan. Lama kelamaan ianya menjadi tradisi dan kebiasaan sebagai satu bentuk kesenian dan kekal sebagai adat dan seni budaya suku kaum tersebut.

            Alat-alat perkusi boleh didefinisikan sebagai alat-alat muzik yang bunyinya dihasilkan dengan cara diketuk, dipalu, digoncang, digores, digesel, digoyang, digoncang dan bermacam cara lagi yang bukan konvensional bagi menghasilkan bunyinya. Pukulan atau paluan dilakukan sama ada menggunakan pemukul khusus atau hanya menggunakan tangan sahaja. Terdapat dua jenis alat muzik perkusi tradisional, iaitu Idiofon dan Membranofon serta dua jenis alat muzik perkusi moden, iaitu alat perkusi berpic dan alat perkusi yang tidak berpic atau tanpa pic. Alat-alat muzik perkusi lumrah didapati dalam muzik tradisional atau dalam sesuatu muzik etnik suku kaum di Malaysia khususnya. Sebahagian daripada alat perkusi ini digunakan di dalam persembahan orkestra masa kini.

Permainan muzik perkusi adalah asas kepada permainan muzik yang lebih besar seperti orkestra. Permainan perkusi memerlukan disiplin yang tinggi semasa persembahan atau semasa latihan. Tanpa disiplin yang tinggi persembahan tidak mungkin berjaya. Bentuk persembahan menyerupai sebuah orkestra sebenar. Pemain berbaris mengikut kumpulan alat. Seorang konduktor akan mengawal persembahan.

       Seorang pengiring, biasanya guru muzik akan memainkan melodi dengan piano atau satu instrumen atau menggunakan rakaman audio. Permainan perkusi dimainkan mengikut disiplin orkestra. Setiap alat dikumpulkan dalam satu kumpulan dan akan bermain serentak. Pemain akan bermain mengikut skor muzik yang telah disediakan.



Setiap alat perkusi perlu dimainkan mengikut teknik yang betul agar menghasilkan bunyi yang estetik. Murid diasuh untuk mengamalkan teknik yang betul memainkan sesuatu alat perkusi. Bagi mencapai tujuan itu, guru perlu menunjukkan cara memegang dan memainkannya mengikut teknik yang standard agar murid dapat membina biasaan yang baik dari awal lagi.

0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2014 Little Percussion ♫