Sunday, 21 September 2014

Integriti


Makna Intergriti dari Wikipedia

Integriti sebenarnya berasal dari istilah bahasa Inggeris yang membawa erti keutuhan dari semua segi yang baik. Dalam bahasa Melayu, ia biasanya menjurus kearah perwatakan seseorang. Maksud integriti mengikut Kamus Dwibahasa DBP, 1985, ialah kejujuran dan ketulusan; kesempurnaan; keutuhan.

Dari maksud yang didapati dari Kamus di atas, integriti adalah sifat jati diri yang merangkumi juga keikhlasan, keterbukaan, ketelusan, amanah, benar, berpegang kepada prinsip, tidak mudah dipengaruhi, boleh dipercayai, boleh pegang cakapnya, dll.

Apa itu integriti?

Di mana-mana sahaja sering dibualkan tentang kurangnya integriti di kalangan orang ramai, pekerja di sektor awam dan swasta, organisasi hatta mereka di kampung juga tidak terkecuali. Masing-masing sibuk bercakap tentang integriti. Jadi apakah maksud sebenar integriti ini?

Secara ringkasnya, integriti boleh dibincangkan kepada dua bahagian iaitu, pertama bersabit dengan individu; kedua integriti di peringkat organisasi. Namun begitu, pada umumnya integriti merujuk kepada himpunan kualiti unggul yang wujud di kalangan individu dan kualiti ini berteraskan kepada prinsip berpegang teguh kepada kejujuran dan amalan bermoral tinggi.

Di peringkat individu, integriti ialah keselarasan di antara tindakan dengan prinsip moral, etika dan undang-undang; serta keselarasan di antara kepentingan diri dengan kepentingan umum. Sementara itu di peringkat organisasi tercermin dalam perumusan dan perlaksanaan kod etika, piagam pelanggan atau sistem dan proses kerja serta pematuhan kepada amalan terbaik. Kod etika berkenaan ditegaskan, diulangi dan dihayati oleh anggota organisasi berkenaan sehingga menjadi kebiasaan dan akhirnya menjadi budaya organisasi (corporate culture).

Secara idealnya integriti sama ada di peringkat individu ataupun organisasi bermaksud 'code of behavior'. Jika semua orang melaksanakan kod ini dengan baik mengikut lunas-lunas yang ditetapkan oleh agama dan masyarakat bertamadun, nescaya sebuah masyarakat atau negara itu akan maju dan bertamadun. Soalnya, mengapa integriti ini sukar dicapai?


Pengertian Integriti Dari Segi Bahasa

Perkataan integrity berasal daripada perkataan latin iaitu integritas yang berasal dari perkataan intact dan whole. Menurut Oxford Dictionary, integrity dalam Bahasa Inggeris yang sama maksudnya dengan integriti ditakrifkan sebagai the quality of being honest and morally upright. Integriti membawa 2 maksud iaitu kejujuran dan keadaan sempurna, keutuhan dan ketelusan.

Maksud integriti mengikut Kamus Dewan, Edisi Keempat ialah kejujuran, mencemarkan nama baik dan jabatan. Ia juga bermaksud keadaan sempurna dan utuh.
Kesimpulannya integriti merujuk kepada sifat-sifat positif seperti jujur, benar, amanah dan bertanggugjawab. Walau bagaimanapun perkataan ini lebih mengkhususkan kepada sifat benar, jujur dan tulus atau dalam bahasa arab disebut dengan perkataan siddiq.

Pengertian Integriti Dari Segi Istilah

Dari segi istilah, integriti ialah nilai pegangan, maruah, etika baik dalam melaksanakan sesuatu yang sahih dan benar. Ia juga berkait rapat dengan kejujuran, kebolehpercayaan, keadilan, kawalan diri, nilai moral positif, kekuatan akidah danspiritual.


Terdapat banyak kes yang menjadi bukti mengapa integriti sukar dicapai malah masalah tiada integriti masih menjadi masalah utama kepada negara. Kita sering mendengar bagaimana seorang penjawat awam mahupun swasta menerima rasuah untuk memudahkan sesuatu proses yang melibatkan kepentingan umum. Rasuah untuk mendapatkan tender, rasuah untuk memotong barisan, rasuah untuk mengelak dari dikenakan hukuman dan macam-macam lagi. Pada satu tahap amalan tidak berintegriti seperti memberi dan menerima rasuah ini, seakan-akan sudah menjadi sebahagian dari budaya yang diamalkan oleh sebilangan ahli masyarakat.

Sebenarnya, kita tidak perlu melihat terlalu jauh atau besar tentang masalah tiadanya integriti. Tidak perlu sangat untuk kita bincang bagaimana rasuah telah menjadi barah kepada si polan itu atau si polan ini. Sebelum kita membincangkan tentang masalah integriti di kalangan orang lain, elok kita halusi diri kita sendiri. Dalam masa 24 jam, berapa kali kita mandi sehari, berapa kali kita memberus gigi, membersihkan bilik tidur, melakukan ibadat, membaca buku, menyiapkan tugasan, bertanya khabar ibu bapa, sahabat, rakan, dan macam-macam perkara lain yang kita anggap remeh. Anda tahu jawapannya.



Integriti Guru, Keberkesanan Membentuk Jati Diri


Integriti merupakan rumusan kepada pemulihan martabat guru di mata masyarakat. Jika selama ini warga guru sudah semakin hilang sengatnya dimata masyarakat, ia berkait rapat dengan integriti.

Sebagai golongan yang diamanahkan oleh ibubapa dan diberi kepercayaan untuk mendidik dan membentuk survival anak-anak mereka di masa hadapan, guru-guru harus membalas kepercayaan tersebut dengan keyakinan yang tidak berbelah bagi. Guru-guru dikenali oleh ibubapa sebagai insan yang mahir dalam selok belok pendidikan.

Kebanyakan ibubapa masa kini tidak lagi melihat tugas guru untuk membentuk sahsiah anak mereka kerana terlalu banyak isu yang berbangkit dari masa ke semasa. Ibubapa masa kini lebih mempersoalkan pencapaian akademik anak mereka berbanding perkara lain kerana inilah perkara yang ditekankan oleh sekolah. Peperiksaan yang menjadi penentu aras kebolehan pencapaian anak-anak mereka. Ibubapa mana yang tidak mahu guru membentuk juga sahsiah anak mereka tetapi memandangkan trend masyarakat yang mementingkan pencapaian dalam peperiksaan maka ibubapa juga seolah terlupa tentang peluang pembinaan sahsiah yang sewajarnya dididik oleh guru melalui tingkahlaku mereka sendiri yang menjadi teladan. 

Isu-isu teknikal sering menjadi bahan rungutan ibubapa terhadap guru hari ini seperti tidak memeriksa buku latihan, tidak memberi kerja rumah yang mencukupi, kertas soalan yang tidak bermutu, menyemak buku latihan secara sambil lewa, gagal menghabiskan sukatan pelajaran apabila peperiksaan semakin hampir dan pelbagai lagi isu teknikal yang berkaitan.

Isu pembentukan sahsiah pula hanya berkisar kepada permasalahan disiplin yang timbul seperti gejala sosial yang semakin merebak seperti merokok, gangsterisme, melepak, dadah dan sebagainya. Apabila diajukan persoalan ini maka ianya menjadi perbincangan sosial dan guru-guru meminta mereka tidak dijadikan penyebab lantas mengaitkan juga kegagalan ibubapa memikul peranan mendidik sahsiah anak-anak mereka.
Alasan guru-guru mudah, masa yang terhad di antara guru dan pelajar di samping tugasan mengajar pelajar yang ramai menyebabkan pembentukan sahsiah pelajar tidak dapat ditumpukan sepenuhnya. Guru sering berharap agar ibubapa tidak melepaskan tanggungjawab tersebut kebahu mereka semata-mata tetapi perlu bersama-sama memikul tugas mengikut masa dan tempat pelajar tersebut berada.

Ibubapa pula sering menunding jari mereka kepada keupayaan guru kerana tugasan mereka yang sibuk dari pagi hingga ke malam tidak mengizinkan mereka mendidik sahsiah anak-anak tambahan pula mereka tidak mempunyai kemahiran formal sebagaimana guru yang dilatih untuk membentuk sahsiah pelajar.

Maka, tunding menunding berterusan dari tahun ke tahun tanpa penyelesaian tetapi kesan yang ketara gejala sosial semakin bertambah parah di kalangan remaja sekolah dicelah-celah perselisihan guru guru dan ibubapa. Semakin lama kita membicarakannya semakin parah keadaannya.

Pepatah “Guru kencing berdiri anak murid kencing berlari” perlulah difahami maksudnya dan dijadikan peringatan sepanjang masa. Maksud sebenar pepatah tersebut iaitu sebagai seorang guru perlulah menonjolkan sifat terpuji dalam diri tidak kira di mana sahaja kita berada samada dihadapan pelajar ataupun dibelakang mereka.

Inilah maksud sebenar pepatah tersebut yang perlu menjadi pegangan guru-guru. Jika sebelum ini guru-guru merasakan bahawa pepatah tersebut berkait dengan teladan mereka akan dicontohi oleh pelajar maka hari ini kita perlu merenung lebih jauh lagi berhubung tindakan kita yang konsisten di mana-mana sahaja.

Amalan berintegriti penting untuk memperkasakan profesion perguruan

KUALA LUMPUR - Amalan berintegriti dalam kalangan guru amat penting untuk melahirkan warga pendidik yang beretika tinggi dalam usaha memperkasakan profesion perguruan di negara ini.
Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Kementerian Pendidikan, Tuan Sulaiman Wak berkata, integriti merangkumi aspek seperti berdisiplin, mematuhi tatatertib dan tidak salah guna kuasa yang perlu diamalkan supaya profesion perguruan terus dihormati dan mampu melahirkan modal insan berkualiti.
"Saya ingin mengajak kembali kepada apa yang dijanjikan para guru yang menuntut agar melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan sebagai guru sebaik mungkin.
"Guru perlu elak salah laku kuasa dan melanggar peraturan yang ditetapkan di bawah perintah am yang boleh menjejaskan sistem pendidikan negara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Perdana Minggu Integriti IPG 2013 di sini, hari ini.
Ditanya mengenai kes baru-baru ini melibatkan seorang guru disiplin di sini yang didakwa mencabul pelajarnya, Tuan Sulaiman berkata ia merupakan kes terpencil namun kementerian tetap memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan guru berkenaan sekiranya dibuktikan bersalah.


Hakcipta terpelihara 


Artikel Tentang Guru Berintegriti


Warga Pendidik: Sejauh mana akauntabiliti kita?

Andai kata seorang doktor tersilap memberikan ubat kepada seorang pesakitnya, implikasinya mungkin kepada seorang pesakitnya itu sahaja. Andai kata seorang pendidik tersilap menyampaikan ilmunya ataupun tersalah menunjukkan teladan yang mulia kepada pelajarnya, impaknya mungkin kepada seluruh generasi mendatang. Tegarkah kita melihat generasi cucu-cicit kita tenggelam dalam kecelaruan moral dan penghidupan akibat perbuatan kita sendiri.
Tidak dinafikan pendidikan merupakan salah satu komponen atau asas penting yang boleh menjadi wahana kepada pencapaian matlamat membina masyarakat Malaysia yang berintegriti, bermoral dan beretika. Falsafah Pendidikan Negara secara jelas menggariskan matlamat untuk membentuk insan yang seimbang dan harmonis dari aspek intelek, rohani, emosi dam jasmani. Falsafah ini kemudiannya diterjemahkan dalam sistem pendidikan negara dengan pelbagai strategi dan pendekatan.

Hari ini, pendidikan tidak lagi sekadar untuk mencelikkan mereka yang buta huruf dan buta angka, tetapi turut berperanan untuk mencelikkan anak-anak kita yang buta IT, buta jati diri, buta budaya, buta nilai, budi bahasa dan adab sopan. Pendidikan tidak mencukupi untuk sekadar menyiapkan anak-anak kita dengan ilmu pengetahuan yang berbentuk teori semata-mata, tetapi berkehendakkan anak-anak kita mempunyai kemampuan berfikir di luar kotak, kemahiran yang bersifat `hands on’ serta kemahiran interpersonal yang tinggi bagi menjamin keboleh pasaran (marketability) serta kebolehan hidup bermasyarakat.

Dalam teras Memperkasa Sekolah Kebangsaan, integriti disentuh dalam konteks amanah kepimpinan sekolah, guru, ibu bapa dan pelajar bagi mewujudkan sekolah yang cemerlang, beraspirasi nasional dan yang mempunyai persekitaran kondusif kepada setiap warganya. Dalam teras Merapatkan Jurang Pendidikan, integriti merupakan asas kepada kecekapan sistem penyampaian bantuan dan pembelaan terhadap golongan yang miskin, berkeperluan khas dan yang tinggal di lokasi yang lebih terkebelakang dan terpencil. Dalam teras Memartabatkan Profesion Keguruan, integriti merupakan dorongan dalaman agar guru melaksanakan amanah mendidik anak bangsa sebaik-baiknya serta berusaha meningkatkan keupayaan diri.

Penerapan nilai integriti bukan sahaja melalui kurikulum semata-mata, kokurikulum juga bertindak sebagai agen ke arah pembentukan nilai integriti. Ia dilakukan melalui pelaksanaan pelbagai aktiviti persatuan dan pasukan pakaian seragam yang mendedahkan pelajar dengan amalan-amalan serta sifat-sifat murni seperti jujur, ikhlas, dan amanah yang menjurus kepada pemupukan integriti dalam diri mereka.

Menyedari bahawa pentadbir sekolah dan guru-guru merupakan penentu utama kepada kejayaan usaha melahirkan generasi muda yang berintegriti, KPM juga telah berusaha menerapkan elemen-elemen integriti di dalam kursus-kursus kepimpinan dan latihan keguruan. Misalnya, dalam Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), pelatih didedahkan dengan elemen integriti melalui topik Pendidikan Negara Bangsa Malaysia, manakala bagi Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP), melalui topik Tatanegara dan Sivik Kewarganegaraan. Kepentingan amalan integriti turut diterapkan melalui Program Bina Insan Guru. Paling penting, elemen integriti disebut sebagai salah satu elemen yang perlu diamalkan oleh para pendidik di dalam buku ‘Budaya IPG’. Penerapan nilai-nilai integriti dalam jiwa pendidik amat penting bagi memastikan warga pendidik sentiasa menjalankan tugas dengan bersistematik, berintegriti dan membina kerja cemerlang yang luhur sekali gus mampu membentuk keperibadian pelajar yang berintegriti.

Kita perlu memperakui bahawa nilai murni, ketelusan, akauntabiliti dan etika amat penting diamalkan demi melonjakkan kecemerlangan masyarakat dan negara pada masa depan. Kita tidak boleh menafikan bahawa sistem pendidikan yang berkesan merupakan tonggak utama dalam mewujudkan masyarakat Malaysia yang berintegriti. Oleh itu, tanggungjawab ini tidak boleh diletakkan  atau dipertanggungjawabkan kepada warga pendidik semata-mata, tetapi ia memerlukan penglibatan semua pihak.

Video-video Tentang Amalan Integriti

i) Integriti Amalan Kita

ii) Integriti dan Rasuah


iii) Guru Berintegriti

iv) Video Integriti Malaysia








0 comments:

Post a Comment

Copyright © 2014 Little Percussion ♫